History

PENGENALAN

Menyedari akan perlunya sebuah perpustakaan untuk bandar Petaling Jaya, satu persetujuan telah dicapai oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) pada ketika itu untuk menubuhkan Kelab Buku Petaling Jaya pada 28 Febuari 1987. 

 

KELAB BUKU PETALING JAYA 

Sebuah Jawatankuasa Protem PKPJ telah dilantik oleh MPPJ. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Encik Soong Siew Hoong (kini Tan Sri), seorang Ahli Majlis MPPJ ketika itu. Usaha-usaha kearah mewujudkan sebuah perpustakaan menjadi kenyataan apabila Kelab Buku Petaling Jaya dengan Rasminya didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan 1966 pada 13 Oktober 1987. Sebagai permulaan kepada usaha ini, Majlis bersetuju untuk menempatkan Perpustakaan di tingkat 2 Menara MBPJ yang terletak di Bandar Petaling Jaya.

Matlamat awal penubuhannya ialah untuk menyediakan kemudahan tempat bacaan dan pinjaman buku disamping memupuk minat suka nenbaca dikalangan masyarakat Petaling Jaya khasnya dan lembah Klang amnya. 

 

PERPUSTAKAAN MPPJ

Memandangkan pentingnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah Peppustakaan maka pada 1 April 1993, MPPJ dengan rasminya mengambil alih Kelab Buku Petaling Jaya. Ianya kemudian dikenali dengan nama Perpustakaan MPPJ. Pengambilalihan ini menunjukkan keprihatinan MPPJ terhadap perkembangan keilmuaan sejajar dengan pembangunan fizikal Petaling Jaya masa kini. 

Perpustakaan yang terletak di Menara MPPJ dirasakan sempit untuk menampung jumlah keahlian yang melebihi 25,000 ahli berdaftar. Jumlah koleksi buku dan bahan-bahan perpustakaan telah bertambah dari setahun-setahun.

PROJEK PEMBINAAN BANGUAN PERPUSTAKAAN

Majlis merasakan perlu kepada pembinaan sebuah bangunan khas untuk perpustakaan. Maka pada pertengahan tahun 1995, kelulusan sebulat suara Mesyuarat Majlis Penuh yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPPJ, Encik Mohamad Nor bin Bador (kini Dato') telah dicapai untuk membina sebuah perpustakaan 4 tingkat di Jalan Selangor, Petaling Jaya. 

Pada Disember 1995, bangunan Dewan Serbaguna yang terletak di Jalan Selangor terpaksa memberi laluan kepada pembinaan perpustakaan empat tingkat yang berharga RM12 juta. Arkitek konsultan kepada projek ini adalah Kamal Ismail Associate. Konsultan-konsultan lain yang terlibat secara terus adalah Jurutera CMP Sdn. Bhd. Dan CKP Nizaruddin Juruukur Bahan Sdn. Bhd. Kontraktor utama adalah ZAQ Contruction Sdn. Bhd. Manakala bagi pihak Majlis, Pegawai Penguasa Projek adalah Puan Zuriha Iiiadad Khan.

Projek ini memakan masa lebih kurang 4 tahun. Kelewatnya adalah kerana masalah-masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Pada bulan Disember 1999, Perpustakaan MPPJ telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Selangor, Petaling Jaya. Kini, Perpustakaan MPPJ dikenali sebagai Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya dijangka akan dapat memulakan perkhidmatannya kepada penduduk Petaling Jaya dan Lembah Kelang, amnya.

 

CIRI UNGGUL KESELURUHAN BANGUNAN BERSIFAT MESRA PENGGUNA

Kemudahan untuk golongan istimewa diambil kira. Dari luar menuju ke pintu utama, kemudahan laluan ramp disediakan manakala di dalam bangunan, 2  buah lif disediakan untuk kemudahan pengguna. Persekitaran bangunan dihiasi landskap serta rock garden yang menarik. Manakala suasana dalaman memberi tumpuan kepada keselesaan keluarga dan individu pengguna beriadah minda. Sudut-sudut muzik di setiap aras bangunan adalah bertujuan memberi alternatif kepada pengguna yang suka membaca sambil menikmati muzik pilihan.

Koleksi berbentuk monograf seiring dengan pelbagai kemudahan peralatan multimedia yang disedikan untuk pengguna. Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya cuba sedaya mungkin untuk memenuhi citarasa pengguna dalam mencapai maklumat yang maksima.